Friday 19 October 2012

Aku Cinta Allah


Dialah Allah. Maha Pemurah. Maha Penyayang.

Maha Pencipta, Maha Pengampun.


Maha Pengurnia, Maha Pemberi Rezeki, Maha Pembuka Rahmat.

Maha Pelapang Hidup, Maha Pemberi Manfaat.

Dialah Al-Wadud, Yang Maha Mencintai.Katakanlah, ku cinta Dia…


Soalan Pertama :
  • Mengapa Kita Mencintai Allah
    • Sebagai bukti bahawa kita adalah hamba yang  bersyukur
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur. (An-Nahl: 78)




Alhamdulillah. Kita boleh mendengar. Tetapi ada insan yang dilahirkan pekak sekaligus bisu. Kita boleh melihat. Ada insan yang dilahirkan tidak mampu melihat. Ada yang kehilangan penglihatannya. Kita boleh berfikir secara waras. Ada insan yang perkembangan akalnya terbantut atau lambat.



Adakah kita bersyukur? Bagaimana kita bersyukur? Tidak lain melainkan dengan ketaatan dan kecintaan kepada Allah S.W.T.Pendengaran, penglihatan dan hati, perlu dihiasi dengan ketaatan dan kecintaan kepadaNya.




  • Demi mencapai kemanisan Iman
“Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman : (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api”. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)


Manisnya coklat berkualiti itu menggembirakan. Manisnya, lazatnya makanan kegemaran itu menyeronokkan. Manisnya senyuman dan wajah itu menenangkan. Manisnya tutur bahasa itu membahagiakan.
Namun halawatul (kemanisan) iman itu bagaimana? Ianya suatu rasa yang lebih hebat.

Kemanisan iman, satu anugerah daripada Allah.
Kemanisan iman, rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah.
Kemanisan iman itu adalah kegembiraan hati, tenangnya jiwa dan bahagianya hidup.

من لم يذوق لا يفهم
Siapa yang belum merasa, tidak memahami.
Halawatul iman itu tidak dapat dirasai melainkan oleh mereka yang sempurna iman dan benar-benar mencintai Allah s.w.t dan Rasul-Nya

Kemanisan iman, adalah sesuatu yang kita perlu berusaha sedaya-upaya untuk merasainya. Kita taat dan mencintai Allah dan Rasul-Nya, demi kemanisan Iman.



  • Untuk meraih Cinta Yang Maha Mencintai

Daripada Abu Darda’ r.a. bahawasanya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Di antara doa Nabi Daud ’alaihissalam ialah: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat menyampaikanku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.” 

Dan bila Rasulullah s.a.w  mengingat Nabi Daud ’alaihissalam beliau menggelarinya sebaik-baik manusia dalam beribadah kepada Allah.” (HR Tirmidzi 3412)

Betapa manusia mengharap cinta daripada kekasih, sifat raja’ (harap) itu lebih utama kepada Allah s.w.t. Betapa manusia berusaha memenangi cinta insani, cinta daripada Allah itu lebih utama untuk diraih.

Itulah cinta hakiki yang kita dambakan.

Mencintai Allah tidak akan pernah ada erti kecewa atau dikhianati. Cinta kepada-Nya pasti dibalas dengan cinta daripadaNya, dibalas dengan pelbagai curahan nikmat dan rahsia yang seni.

Berbahagialah jiwa yang taat dan cinta kepada Allah, kebahagiaan di dunia yang sementara dan kebahagiaan di syurga yang kekal abadi.


  • Kerana Allah Ta’ala telah memperingatkan dan memberi ancaman:


Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjuang di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq. (At-Taubah: 24)





KeampunanMu ku pohon, andai ada selainMu yang lebih utama dalam hatiku.




No comments:

Post a Comment